Majlis hari lahir anak bertukar jadi majlis tahlil
KUBANG PASU – Majlis hari lahir yang dirancang untuk diadakan semalam bertukar kenduri tahlil untuk Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, yang maut setelah dihempap tiang elektrik konkrit di Kampung Belukar, Changlun dekat sini minggu lepas. Ibu mangsa, Sharifah A. Rahim, 35, memberitahu, dia dan suami,
Ruslizan Ali, 41, merancang untuk mengadakan satu majlis kecil untuk ahli keluarga sebagai menunaikan hasrat anaknya itu. “Hari ini hari lahir arwah.
Arwah ada minta nak buat parti tapi tak adalah nak mendesak kerana dia faham masalah kewangan kami. Tetapi kata dia kalau boleh nak potong kek saja. Kek kecil pun tak apa. Memang kami rancang nak buat makan-makan sikit hari ini. “Allah sayangkan dia lagi. Kami reda walaupun hati ini masih sayu,” katanya ketika hadir di Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun dekat sini semalam.
Dalam kejadian Selasa minggu lepas, Muhammad Aqil Wafiq maut akibat kecederaan parah setelah dihempap tiang elektrik konkrit yang terletak tidak jauh dari rumah keluarganya di Kampung Belukar, Changlun dekat sini. Rakannya, Wan Aliff Danish Wan Mohamad Naim, 11, parah pada badan sementara seorang lagi mangsa, Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, cedera pada paha dan menerima rawatan di wad biasa Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Menurut Sharifah, ketika ini mereka sekeluarga menetap di Jeniang, Sik, buat sementara waktu kerana masih trauma dengan kejadian yang menyayat hati itu. “Saya dan suami tak boleh duduk di rumah itu lagi. Masih terbayang-bayang wajah arwah. Kawasan letak tiang konkrit itu lagilah, tak boleh tengok langsung. Jadi sayu,”
katanya.
Ketika ditanya tentang tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas pihak terlibat jika didapati berlaku kecuaian, katanya, mereka sekeluarga menyerahkan perkara itu kepada adik beradik lain untuk tindakan lanjut. Menurut datuk Muhammad Aqil Wafiq, Ali Musa, 70, mereka berharap tiang elektrik tersebut yang terletak tidak jauh dari rumah dipindahkan segera dan berasa hiba setiap kali terpandang longgokan tiang elektrik berkenaan.
Dalam pada itu, menurut ibu kepada Wan Aliff Danish, Nor Zuraidah Zainon, 29, keadaan anaknya itu semakin pulih namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemantauan. “Cuma kami belum memaklumkan kejadian sebenarnya iaitu kematian Aqil takut kesihatannya terganggu walaupun dia sering bertanyakan perkara itu. Kami tunggu keadaannya pulih dulu,” katanya. Sumber - KOSMO