Pengarah Filem Azhari Zain Meninggal Dunia dini hari
Berita pemergiannya disahkan oleh isterinya, Wahizatul Nureen Azmi atau lebih mesra disapa Nureen kepada BH Online, sebentar tadi.
Nureen berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir sebelum jam 12.30 tengah malam.
“Arwah berada di rumah, saya berada di sisinya melihat saat akhir sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Saya melihat arwah sudah agak lain, kesihatannya juga agak merosot sejak seminggu lalu.
“Nyata, Allah lebih menyayanginya. Doakan semoga permudahkan urusan arwah dan ditempatkan bersama solihin,” katanya dengan sebak, sambil mohon maaf tidak mampu meneruskan perbualan.
Akhir Mei lalu, BH melaporkan, Azhari atau nama sebenarnya, Azhari Mohd Zain berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan untuk memulihkan dirinya selepas mengalami angin ahmar pada Februari lalu.
Selepas tiga bulan terlantar di hospital, Azhari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibenarkan pulang ke rumah di Shah Alam, Selangor, pada 18 April lalu, untuk meneruskan sesi rawatan.
Pergerakannya terbatas, malah bercakap hanya mampu memberi isyarat menerusi gerakan kepala atau hanya menunjukkan reaksi emosi seperti sedih.
Sebelum itu, arwah terkena serangan angin ahmar hingga pernah kritikal apabila saluran darah dalam otak tersumbat, namun, proses pemulihan pengarah filem Jin Notti ini mula menampakkan perkembangan positif pada Julai lalu.
Malah, arwah juga boleh duduk sekejap dan melakukan sedikit pergerakan biasa pada anggota badan, tangan dan kaki selepas lima bulan diserang angin ahmar.
Beliau mengalami serangan angin ahmar pada kedua-dua bahagian badan, jadi memerlukan masa untuk pulih.
Memulakan kerjaya pada 2004, arwah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.
Selain Jin Notti, arwah mengarahkan filem Santau, Zoo, Hantu Dalam Botol Kicap dan Mantra.
Arwah meninggalkan isteri, Wahizatul Nureen dan tiga cahaya mata.
Jenazah akan dimandi dan dikapan di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang, pagi esok.