Dua sepupu maut bersama selepas kereta terbabas
MARANG: Dua sepupu maut, selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Jambu Bongkok, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, Muhammad Rafizan Rozlan, 23, penumpang depan dan sepupunya, Nursyazwani Shamsudin Satin, 16, yang duduk di bahagian belakang, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Dua lagi yang cedera perah iaitu abang kepada Nursyazwani, Muhammad Shahrul Shamsudin Satin, 24, yang memandu kereta terbabit dan adik kepada Muhammad Rafizan, Muhamad Suhaimi Rozlan,17, yang kini dalam rawatan di Hospital Dungun.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Nyior, Paka.
Setibanya ditempatkan kejadian, kereta jenis Honda Civic dinaiki dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan dan tiang elektrik di situ.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris, berkata mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Katanya, kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke Hospital yang sama untuk menerima rawatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu kepada Nursyazwani, Rubiah Wahab, 47, berkata dia tidak menyangka penantian kepulangan anaknya itu berakhir dengan berita yang menyedihkan.
Katanya, Nusyazwani belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir sejak setahun lalu dan tinggal bersama kakaknya di situ.
"Sepatutnya dia pulang ke Paka kelmarin dihantar oleh kakaknya namun tertangguh kerana kakaknya masih sibuk dengan urusan kerja.
"Kali terakhir ssya berjumpa dengan dia (Nusyazwani) ketika dia pulang bercuti pada Tahun Baharu Cina baru-baru ini dan pagi tadi dia ada hubungi saya dan mendakwa tidak sabar nak bertemu dengan saya," katanya.
Rubiah berkata, kebetulan abang Nursyazwani (Muhammad Shahrul) ada urusan di Kuala Terengganu, dia meminta Muhammad Shahrul mengambil Nursyazwani di rumah kakaknya untuk dibawa pulang ke Paka.
"Saya ternanti-nanti kepulangan mereka sebelum dikejutkan mereka semua terlibat dalam kemalangan dan saya segera ke lokasi kejadian dan tidak sangka kemalangan itu menyebabkan ada nyawa terkorban.
"Bila sampai, saya dapati jasad Nursyazwani dan anak saudara saya (Muhammad Rafizan) sudah tidak bernyawa lagi," katanya.
Katanya, dia tetap redha dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka kemalangan itu boleh menyebabkan mereka terbunuh.