Mangsa kemalangan jalan berlubang dapat RM652,000

MANGSA DPT PAMPASAN RM652 000 

KOTA BHARU, KELANTAN: Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam, membenarkan pampasan sejumlah RM652,000 kepada mangsa kemalangan yang kehilangan kaki kirinya kerana terjatuh ke dalam lubang dilimpahi air di jalan raya pada kejadian hampir dua tahun lalu.

Kejadian itu menimpa mangsa Tengku Muhamad Khazi Hakimi Ku Hussin, 34, dalam kejadian 1 Disember 2019 di Kilometer 53 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, di Machang.

Peguambela yang mewakilinya Wahab Che Kob dan Nor Asniza Husin berkata kebenaran pampasan itu susulan tuntutan dibuat terhadap Roadcare Malaysia Sdn Bhd dan kerajaan Malaysia.

Menurutnya di awal perbicaraan pihak Roadcare menafikan dan menyangkal kewujudan lubang pada jalan raya berkenaan.

"Namun mahkamah menyatakan berdasarkan bukti-bukti dan keterangan di pihak plaintif mendapati kemalangan berlaku disebabkan lubang yang dilimpahi air akibat kecuaian Roadcare sebagai kontraktor penyelenggara jalan kepada kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli manakala defendan diwakili peguam S Siva Shanker dan Asmah Che Wan.

Sumber: Malaysia Kini